SISTEM PENGURUSAN PEMBELAJARAN 
LEARNING MANAGEMENT SYSTEM (LMS)





Sistem Pengurusan Pembelajaran (SPP):

Sistem Pengurusan Pembelajaran (SPP) atau lebih dikenali sebagai Learning Management System iaitu LMS, adalah sebuah sistem yang menguruskan aktiviti dan bahan pengajaran yang diperlukan oleh seseorang. Secara khususnya, LMS merupakan sebuah aplikasi perisian yang menyediakan infrastruktur untuk merancang, menguruskan dan menghantar program e-Pembelajaran, pentadbiran, dokumentasi, laporan program latihan, kelas serta aktiviti dalam talian dan kadar latihanIa adalah sebuah projek yang dirintis berdasarkan kerjasama antara Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu KPM  dan juga Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia iaitu MAMPU. MAMPU telah merintis LMS di bawah inisiatif Open Source Software iaitu OSS. 

Learning Management System boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu 'proprietary' dan 'open source'. Contoh bagi kategori 'proprietary' yang biasa digunakan ialah Blackboard. Manakala bagi kategori 'open source' pula, contoh yang biasa digunakan ialah Moodle. LMS digunakan secara meluas kerana ia adalah sebuah sistem yang tidak berbayar serta boleh diubahsuai mengikut kehendak diri sendiri. Tambahan pula, penyampaian maklumat pelajaran adalah secara maya. Para pelajar hanya perlu klik pada pautan yang terdapat pada skrin komputer atau telefon pintar masing-masing untuk mendapat sebarang maklumat yang diperlukan. 






Ciri-ciri Sistem Pengurusan Pembelajaran:


Mengikut American Society for Training & Development (ASTD, 2002), perisian LMS perlu mempunyai tiga ciri yang utama. Antara ciri tersebut ialah, LMS mestilah boleh menyokong pelbagai prinsip pembelajaran. Selain itu, LMS juga hendaklah dapat diintegrasikan dengan Sistem Maklumat Sumber Manusia. Di samping itu, LMS juga mestilah berperanan sebagai sebuah sistem yang mampu untuk mentadbir segala aktiviti pengajaran.

Ciri-ciri utama di dalam LMS ialah ia mengandungi maklumat mata pelajaran, nota kuliah dan pautan kepada pelbagai sumber maklumat yang lain. Seterusnya, LMS juga memberikan pelbagai kemudahan kepada para penggunanya. Antara kemudahan yang disediakan ialah kemudahan dari segi komunikasi dan penilaian.



Learning Management System membolehkan sebarang bahan kursus diletakkan di atas talian. Hal ini demikian kerana, kebanyakan LMS menyediakan butang atau 'button' yang telah ditetapkan untuk mengakses atau mendapatkan sebarang sukatan atau kandungan kursus seperti jadual kursus dan bahan kursus. LMS juga mempunyai papan diskusi atau 'discussion board' yang membenarkan para pelajar dan tenaga pengajar seperti guru dan pensyarah berbincang atau berdiskusi mengenai sesuatu maklumat pengajaran. Seterusnya, LMS juga mempunyai alat komunikasi yang lain atau ‘other communication tools’. Ia membolehkan para pengajar untuk menghantar sebarang pengumuman kepada kelas dan berhubung dengan para pelajar secara individu. Tambahan pula, LMS juga mempunyai lock box yang disediakan untuk pelajar menyimpan bahan pembelajaran di tempat yang betul dan selamat.  



Kegunaan Sistem Pengurusan Pembelajaran:




Sistem Pengurusan Pembelajaran ini digunakan secara meluas di peringkat universiti dan pusat pengajian tinggi di seluruh dunia. Ia memainkan peranan yang utama dalam sektor pendidikan seperti kegiatan akademik, sistem pengurusan pentadbiran serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh, LMS telah memudahkan proses e-Pembelajaran dengan memainkan peranan yang penting sebagai sebuah platform pembelajaran secara atas talian. Ia membolehkan kandungan bahan pengajaran dan pembelajaran diperolehi dengan mudah di atas talian. Para pelajar boleh melihat, belajar serta mengulangkaji bahan pembelajaran tersebut dengan menggunakan mana-mana peranti mudah alih seperti telefon bimbit dan computer riba di mana-mana sahaja. Di samping itu, LMS juga digunakan dalam jabatan akademik untuk mengurus, menyokong dan mengatur sebarang projek dan organisasi demi mencapai matlamat pengajaran di peringkat pengajian tinggi.  

Di samping itu, LMS juga digunakan untuk memudahkan penyampaian dan penghantaran kursus secara atas talian.  Sebagai contoh, Learning Management System ini menggabungkan kesemua maklumat pembelajaran dan latihan ke dalam sebuah sistem yang utama. Hal ini memudahkan para pelajar untuk mengakses maklumat-maklumat tersebut dengan hanya satu klik di hujung jari. Seterusnya, LMS turut membantu untuk meningkatkan tahap komunikasi antara pensyarah dengan para pelajar. Ia merupakan sebuah platform atau medan perbincangan kumpulan. Hal ini demikian kerana, ia membenarkan para pelajar untuk memberikan maklum balas terhadap bahan pembelajaran yang telah diberikan dan apa yang telah diajar oleh pensyarah. Oleh hal yang demikian, pensyarah boleh memperbaiki bahan pengajaran dan pembelajaran tersebut hasil daripada maklum balas yang telah diberikan oleh para pelajar. Hal ini akan meningkatkan pemahaman para pelajar terhadap maklumat yang dipelajari.

Sistem Pengurusan Pembelajaran ini juga menguntungkan para penggunanya. Hal ini demikian kerana, secara relatifnya, kosnya adalah lebih rendah dan tahap kemahiran yang diperlukan adalah sederhana. Sistem ini tidak memerlukan para penggunanya menggunakan tahap kemahiran yang tinggi.

Learning Management System iaitu LMS digunakan secara meluas dalam bidang pendidikan. Ia digunakan untuk merancang e-Bahan, mencari maklumat dengan pantas, memantau pencapaian pelajar dan mengesan status penggunaan seseorang pengguna. Selain itu, LMS juga digunakan untuk menyampaikan ilmu pengetahuan, membuat penilaian dan pentaksiran pembelajaran serta mengenal pasti kemajuan para pelajar. Di samping itu, LMS juga digunakan untuk mengendalikan proses pendaftaran pelajar misalnya, pendaftaran dan pengguguran subjek dalam sesuatu projek. LMS juga membantu para pelajar dan tenaga pengajar untuk memusatkan strategi pembelajaran dan pengajaran degan lebih jelas. Tambahan pula, LMS turut membantu untuk menyampaikan inti sesuatu pembelajaran dengan lebih cepat dan tepat. Seterusnya, LMS juga menggabungkan kaedah latihan pada platform yang berasaskan web yang berskala. Sistem Pengurusan Pembelajaran ini turut memudah alih sokongan dan standard serta menyesuaikan kandungan dan membolehkan penggunaan semula pengetahuan. Akhir sekali, LMS juga meningkatkan kelas pendidikan jarak jauh yang diajar melalui media lain.




Kepentingan Sistem Pengurusan Pembelajaran:




LMS memainkan peranan yang penting dalam membantu segenap lapisan masyarakat. LMS memberikan manfaat yang besar kepada para pelajar, pengurus pusat pembelajaran serta pengurus kursus. Para pelajar dapat belajar di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Para pelajar juga berupaya untuk meneroka maklumat baharu menerusi perpustakaan samada secara digital atau laman web. Mereka juga berpeluang untuk berbincang dengan pakar dari universiti melalui emel atau Blackboard serta dapat merancang pembelajaran dengan lebih sistematik dan efektif. Para pelajar juga dapat berkomunikasi dengan pensyarah dan rakan sekelas secara maya dan membolehkan pelbagai maklumat diperoleh dengan mudah. Selain itu, LMS juga membolehkan pengurus pusat pembelajaran untuk menguasai penggunaan suatu perisian kursus dan dapat menyalur bahan daripada pelbagai sumber. Di samping itu, LMS turut membolehkan pengurus kursus supaya mendaftarkan pelajar mengikut kursus dan dapat menjalankan program kepada pelajar dengan teratur dan menarik.

Seterusnya, penggunaan LMS juga memainkan peranan yang penting untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti kerja seseorang terutamanya profesion perguruan. Hal ini demikian kerana, guru-guru dapat berkongsi idea dan menyampaikan pengajaran kepada pelajar dengan lebih baik. Menurut kajian Melvina dan Jamaludin pada tahun 2010, kemahiran dan pengetahuan seseorang guru adalah sederhana dalam penggunaan teknologi pendidikan. Tetapi dengan penggunaan LMS semasa aktivti pengajaran dan pembelajaran, mereka dapat melaksanakan pembelajaran dan pengajaran dengan lebih berkesan.

Di samping itu, LMS turut membantu seseorang dalam pelaksanaan tugas seharian dan pembelajaran bagi menjalankan tugas mereka dengan cekap. Hal ini dikatakan demikian kerana, mereka dapat berkongsi maklumat dalam lingkungan yang besar. Oleh itu, mereka dapat menjimatkan masa untuk menghantar maklumat yang hendak dikongsikan. Maklumat yang diperlukan juga boleh diperolehi dengan cepat dan mudah.

Selain daripada itu, dengan penggunaan LMS, seseorang itu juga dapat meningkatkan semangatnya untuk belajar atau bekerja. Hal ini demikian kerana, LMS merupakan sebuuah sistem yang sistematik untuk mengurus dan menyelenggara sesuatu program. Para pengguna tidak akan diganggu dengan sebarang masalah pengurusan teknikal. Oleh itu, para pengguna LMS dpat melakukan sesuatu kerja dengan mudah dan cekap. Seterusnya, LMS juga dapat menyimpankan data atau maklumat dengan selamat serta sempurna.

Kesimpulannya, Sistem Pengurusan Pembelajaran ini memberikan pelbagai kebaikan serta kelebihan kepada para penggunanya. LMS memainkan peranan yang amat penting dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran para pelajar. Ia bertindak sebagai sebuah platform atau medium yang meningkatkan dan menggalakkan para penggunanya untuk bertindak secara efektif dan berkesan. Justeru, penggunaan LMS hendaklah diteruskan dan digiatkan agar kelebihannya dapat diaplikasikan dengan sebaik mungkin.


Disediakan oleh: Nur Aina Munirah Binti Ahmad Zaghlul

Comments

  1. Bagaimana LMS ini boleh dilaksanakan kepada pelajar di sekolah kawasan pedalaman ?

    ReplyDelete
  2. Saya ingin bertanya, bagaimanakah aplikasi LMS dapat dilaksanakan di sekolah yang berada di kawasan yang tiada talian atau di kawasan yang tidak diberi penekanan terhadap penggunaan ICT ? bolehkah saudari jelaskan ?

    ReplyDelete
  3. Terimakasih saudari atas penerangan yang amat jelas dan padat. Bolehkah saudari memberi contoh aplikasi lms yang sering digunakan oleh institusi pengajian kini?

    ReplyDelete
  4. Boleh anda nyatakan contoh penggunaan LMS?

    ReplyDelete
  5. Saya ingin bertanya, adakah penggunaan LMS ini memerlukan data peribadi pelajar dan pensyarah? Jika ianya digunakan, adakah sistem ini selamat digunakan?

    ReplyDelete

Post a Comment